Ibu pejabat Lembaga Zakat Selangor di Seksyen 13, Shah Alam. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

7,000 pelajar asnaf dapat tablet, data percuma sumbangan LZS

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 7,000 pelajar asnaf negeri ini menerima tablet berserta data internet percuma sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Inisiatif bawah Zakat Selangor Peduli berjumlah RM6 juta khusus buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi LZS, alat peranti itu diedar mulai bulan ini hingga Disember manakala data internet RM30 sebulan diberi hingga Mac tahun depan.

“Insya-Allah dengan sumbangan ini pelajar asnaf dapat terus melakar kejayaan dengan lebih banyak pada masa akan datang,” kata agensi itu.

Menurut poster yang dimuat naik di platform sama, usaha itu bagi meringankan beban pelajar dan keluarga dalam mengadaptasi pembelajaran di rumah sebagai norma baharu.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan sebanyak RM69.3 juta bagi menjayakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli untuk membantu golongan terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif secara berperingkat sehingga Disember tahun ini dijangka memanfaatkan seramai 59,322 penerima dan 431 institusi seluruh negeri.

 


Pengarang :