Jamaliah Jamaluddin (kanan) melihat proses pemberian suntikan pelalian kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di gelanggang bola keranjang Kampung Chempaka, Petaling Jaya pada 25 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

7,000 warga DUN Bandar Utama dapat vaksin negeri

PETALING JAYA, 25 SEPT: Sekitar 7,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menerima suntikan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) setakat ini, kata wakil rakyatnya.

Jumlah itu termasuk program vaksin bergerak melibatkan kerjasama antara pusat khidmat masyarakat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, menurut Jamaliah Jamaluddin.

“Kebiasaannya kita terima lebih 1,000 permohonan bagi setiap program Selvax Komuniti, selebihnya kita menghantar senarai nama yang memohon vaksin ke program Selvax lain.

“Kita juga mengadakan vaksin bergerak bersama PKD Petaling dan keseluruhan sekitar 6,000 hingga 7,000 orang divaksin setakat ini,” katanya ditemui pada program Selvax bergerak di Kampung Chempaka hari ini.

Jamaliah berkata sebanyak 350 dos disediakan melalui program itu dengan sasaran perserta dalam kalangan warga asing yang tiada pengenalan diri.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).


Pengarang :