Selangorkini
Petugas kesihatan menunjukkan dos vaksin kepada penerima di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

83.1 peratus individu dewasa lengkap dua dos vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Seramai 19,454,273 individu, atau 83.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi akaun Twitternya hari ini memaklumkan sebanyak 93.7 peratus atau 21,923,560 individu daripada populasi dewasa di Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat semalam.

Sementara itu Kementerian Kesihatan (KKM) pula dalam perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini memaklumkan 59.7 peratus atau 19,481,412 daripada keseluruhan populasi Malaysia sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 0.9 peratus atau 27,139 remaja sudah lengkap divaksin setakat semalam.

Bagi kedua-dua populasi dewasa dan remaja, sebanyak 259,141 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 114,618 suntikan dos pertama dan 144,523 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin Covid-19 negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencecah 42,106,397 setakat semalam.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara dengan PICK remaja dimulakan pada 8 Sept.

COVIDNOW turut melaporkan sebanyak 228 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan setakat 11.59 malam tadi, menjadikan kumulatif kes kematian kini berjumlah 25,159.

Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi lapan kematian sebenar Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam semalam manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

Bagaimanapun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, 89 kes kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan.

Sebanyak 36 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

– BERNAMA


Pengarang :