Selangorkini
Rodziah Ismail mendengar penerangan dari Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad Dato’ Hoo Kim See berkaitan rumah contoh sempena penyerahan kunci Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

84,192 unit Rumah Selangorku Harapan, Rumah Idaman MBI dilulus

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Sebanyak 84,192 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diluluskan Kerajaan Negeri sehingga 31 Ogos.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata kelulusan perumahan melibatkan 49 projek itu mengatasi sasaran untuk pembinaan 60,000 unit rumah dalam tempoh tiga tahun hingga 2023.

“Usaha Kerajaan Negeri ini akan membantu penduduk memiliki kediaman dan berharap selepas diluluskan pemaju terus berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan kelulusan serta melaksanakan projek dengan segera,” kata Rodziah Ismail.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Taman Alam Suria, Kuala Selangor hari ini.

Terdahulu, Rodziah melawat projek perumahan yang siap dibina dan sedia diduduki sebelum menyerahkan kunci kepada penduduk di taman itu dengan disertai Pengurus Besar Kanan IJM Land Dato’ Hoo Kim See.

Pada 2 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 80,650 unit Rumah Selangorku Idaman dan Harapan menerusi 41 projek yang dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Daripada jumlah itu, lebih 77,000 ditawarkan kepada orang awam manakala selebihnya diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).


Pengarang :