Orang kurang upaya (OKU) mencuba laluan baru yang dibina Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya pada 24 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

994 OKU Selangor terima bantuan RM500 setakat ini

SHAH ALAM, 28 SEPT: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM500 kepada 994 orang kelainan upaya (OKU) yang layak setakat ini.

Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 yang disalur sejak 5 Julai lalu membabitkan peruntukan RM497,000.

“Proses semakan sedang dibuat untuk mencari lagi 206 pemohon yang benar-benar memenuhi kriteria ditetapkan. Agihan kepada mereka pula dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

“Walaupun jumlah bantuan tidak banyak tetapi kita berharap mampu menampung perbelanjaan mereka yang terkesan akibat pandemik,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri belum bercadang untuk menambah kuota penerima bantuan tersebut berikutan peruntukan sedia ada dihadkan kepada 1,200 individu.

“Kita akui permohonan diterima memang banyak tetapi peruntukan yang ada terhad. Jadi, semakan perlu dilakukan secara terperinci dan kita tidak dapat bantu sekiranya dokumen dihantar tidak lengkap.

“Bagaimanapun, segala keputusan bergantung kepada Kerajaan Negeri. Jika ada peruntukan tambahan untuk program ini, kita sedia teruskan,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan RM600,000 bagi membantu golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.


Pengarang :