Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya pada 5 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Bandar Utama bantu individu tiada dokumen dapat vaksin

PETALING JAYA, 5 SEPT: Individu tanpa dokumen sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama akan dibantu mendapat suntikan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak bulan ini.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Jamaliah Jamaluddin berkata kumpulan terbabit dikenal pasti hasil bantuan pemimpin tempatan bagi membantu negeri meningkatkan imuniti kelompok.

“Selepas ini kita hendak fokus kepada individu tidak mempunyai dokumen yang mungkin takut tampil mendapat vaksin kerana bimbang ditahan.

“Semua orang perlu divaksin supaya keadaan selamat bagi memulihkan pendapatan masyarakat menerusi pembukaan sektor ekonomi,” katanya ditemui di Kampung Sungai Kayu Ara di sini hari ini.

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama memulakan suntikan vaksin secara mobil selama dua hari mulai semalam, yang menyasarkan 1,000 penduduk termasuk warga asing.

Sementara itu, Jamaliah berkata sebahagian besar daripada 5,000 individu tercicir di kawasannya sudah menerima suntikan bawah Selvax dan program vaksin bergerak mulai semalam.

Pada 24 Ogos, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan tertentu akan dimulakan bulan ini.

Sebanyak 60,000 dos vaksin disediakan bagi melaksanakan usaha itu dengan setiap DUN dijangka menerima kuota antara 500 hingga 1,000 dos.

 


Pengarang :