Rodziah Ismail (kanan) membantu mengisi minyak salah sebuah motosikal secara percuma sempena Hari Malaysia di Petron Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pada 16 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

ADN Batu Tiga belanja minyak percuma untuk 200 motosikal

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seramai 200 penunggang motosikal menerima sumbangan petrol secara percuma daripada wakil rakyat Batu Tiga sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Rodziah Ismail berkata inisiatif itu bagi meringankan beban masyarakat yang berdepan ketidaktentuan harga petrol termasuk yang terjejas akibat Covid-19.

“Semoga inisiatif ini meringankan beban rakyat yang terkesan susulan pandemik selain menjimatkan perbelanjaan harian mereka,” katanya ditemui di Stesen Minyak Petron Lebuhraya Persekutuan di sini.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada kenderaan pacuan empat roda yang melalui stesen berkenaan.

Sementara itu, penunggang motosikal Khairulnizam Ahmad Kabir, 26, tidak menduga mendapat rezeki minyak percuma dan berharap program seumpama itu akan diteruskan.

“Saya mengucapkan terima kasih atas inisiatif Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga dan berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Penghantar makanan Zarkashi Zainal Abidin, 25, juga tidak melepaskan peluang mendapat manfaat setelah dimaklumkan mengenai inisiatif itu melalui WhatsApp.

“Memang bagus program seperti ini sesekali dianjurkan untuk membantu golongan memerlukan, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.


Pengarang :