Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 13 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong ketuai tepukan gemuruh hargai petugas hadapan, atlet negara

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yang di-Pertuan Agong mengajak ahli Dewan Rakyat bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal sebagai penghargaan atas kerja keras mereka memerangi Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut meminta ahli parlimen menzahirkan penghargaan sama untuk atlet Paralimpik dan Olimpik negara yang mencipta kejayaan dalam temasya berprestij berkenaan.

“Saya menjemput semua berdiri dan berikan tepukan gemuruh kepada mereka,” titah baginda yang turut bersama bangun bersama memberikan tepukan.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam temasya Olimpik 2020 di Tokyo, Malaysia meraih satu perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

Atlet para negara pula cemerlang membawa tiga pingat emas dan dua perak dalam Sukan Paralimpik Tokyo.

Emas dimenangi Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20), Bonnie Bunyau Gustin (angkat berat) dan Cheah Liek Hou (badminton).


Pengarang :