Gambar aktiviti guna tanah di kawasan Bukit Mahkota Cheras yang dikongsi seorang pengguna Twitter. Foto TWITTER @asyraf_wahaB747
AGENDANASIONAL

Aktiviti kuari di Bukit Mahkota Cheras ada permit, kelulusan pejabat tanah

SHAH ALAM, 13 SEPT: Aktiviti guna tanah di kawasan Bukit Mahkota Cheras beroperasi secara sah kerana mendapat permit dan kelulusan pejabat tanah.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata semakan mendapati aktiviti kuari juga dilakukan atas tanah milik persendirian.

“Kita semua sayangkan hutan, tapi bukan semua kawasan berpokok itu hutan di sisi perundangan.

“Ada tu (itu) tanah persendirian, tertakluk pada peraturannya tersendiri,” tulisnya di Twitter hari ini.

Beliau menjelaskan perkara itu susulan pertanyaan seorang pengguna Twitter @asyraf_wahaB747 yang mempersoalkan status aktiviti tanah di kawasan Bukit Mahkota.

Pemilik akaun tersebut turut memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan terdapat aktiviti tanah di kawasan terbabit.

Kelmarin, menerusi hantaran berasingan, Edry mengingatkan pemilik tanah supaya memohon kebenaran PBT sebelum melakukan kerja tanah walaupun tanah milik persendirian.

“Di Hulu Langat kami selalu jumpa masalah ini (tiada kelulusan aktiviti tanah). Meskipun tanah persendirian, pemilik harus dapatkan kebenaran PBT untuk sebarang kerja tanah. Bukan main redah mentang-mentang tanah sendiri,” katanya.


Pengarang :