Ambulans bernilai RM350,000 sumbangan Kerajaan Selangor untuk kegunaan rakyat Palestin. Foto ihsan GPM
AGENDANASIONAL

Ambulans Palestin sumbangan Selangor diserah di Gaza esok

SHAH ALAM, 22 SEPT: Sebuah ambulans sumbangan Kerajaan Negeri hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza esok.

Pegawai Perhubungan Awam Global Peace Mission Malaysia (GPM) Salman Mohd Yusop berkata serahan akan dilakukan wakil GPM di sana pada jam 11 pagi waktu Palestin.

Menurutnya, kenderaan bernilai RM350,000 yang dibeli di negara itu turut dilengkapi alatan perubatan dan pelbagai jenis ubat yang dijangka mampu memudahkan urusan penghantaran pesakit ke hospital.

“Sumbangan ini juga atas permintaan kementerian kesihatan di sana kerana mereka kekurangan kenderaan tersebut akibat sering dibom musuh ketika peperangan berlaku.

“Kita harap ambulans sumbangan Kerajaan Selangor membantu mempercepat proses membawa pesakit ke hospital dan menyelamatkan nyawa mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 25 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM370,000 daripada fasa pertama Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan disalurkan kepada GPM untuk membeli sebuah ambulans dan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

Tabung tersebut dilancarkan untuk rakyat negara itu selama 10 hari sejak 19 Mei namun dilanjutkan kepada 31 Julai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain ambulans dan makanan, kutipan daripada tabung itu juga akan digunakan untuk membeli tiga buah trak bantuan, bahan bakar dan set generator.


Pengarang :