Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Dengkil Hamidi A Hasan (dua, kanan) bertanya khabar Siti Hapiah yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Awam Dengkil, Sepang pada 24 September 2021. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Anak angkat sihat dan tiada kesan magnet, warga emas setuju divaksin

SEPANG, 24 SEPT: Seorang warga emas yang menolak vaksin Covid-19 kerana bimbang berubah menjadi ‘manusia magnet’ akhirnya bersetuju menerima suntikan pelalian itu.

Warga Indonesia, Siti Hapiah Beddu, 90, menerima dos pertama dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak hari ini berikutan anak angkatnya, Normah Mohd Ali, 60, dan ahli keluarga yang lain kekal sihat selepas divaksin.

Normah berkata Siti Hapiah sebelum ini enggan mendapat suntikan itu dan memberi pelbagai alasan selepas terpengaruh dengan dakwaan berkenaan kesan vaksin.

Muhammad Ilman Mohamad Yusnan. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

“Ibu kata takut magnet melekat pada badan dan bimbang jatuh sakit, kami cuba pujuk serta yakinkannya bahawa vaksin selamat tetapi beliau tetap dengan pendiriannya.

“Sekarang baru ibu setuju selepas melihat kami semua masih sihat selain mahu pulang ke kampung di Balikpapan,” katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax bergerak di Pasar Awam Dengkil dekat sini.

Bagi Muhammad Ilman Mohamad Yusnan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-18 pada 12 September lalu, gembira mendapat suntikan vaksin Covid-19 yang membolehkannya menikmati kelonggaran menjalankan aktiviti sosial.

“Boleh juga saya cari kerja selepas lengkap vaksin nanti, sekarang tidak boleh kerana majikan hanya mengambil mereka yang sudah mendapat dua dos,” katanya.


Pengarang :