Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 21 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Anak patah kaki semangat bawa bapa sakit kronik ambil vaksin

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kesakitan yang dialami akibat patah kaki bukan halangan buat seorang anak untuk menemani bapanya mendapat suntikan pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak hari ini.

Meskipun terpaksa menggunakan topang kaki, Che Rani Che Mustafa, 47, tetap bersemangat berikutan bimbang bapanya Che Mustafa Said, 80, tidak memahami selok belok di Kampung Padang Jawa di sini.

Jelasnya, bapanya yang yang menghidap sakit jantung dan asma juga kurang mahir prosedur suntikan berikutan baharu berpindah dari Machang, Kelantan untuk tinggal bersamanya.

“Sebelum ini bapa sudah dapat janji temu tetapi di Kelantan, jadi terpaksa tolak…risau juga lama menunggu memandangkan bapa ada penyakit kronik.

Che Rani Che Mustafa

“Bila saya dapat tahu ada Selvax di sini, saya terus daftar nama bapa dan syukur hari ini sudah disuntik,” kata pekerja kilang yang patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya, April lalu.

Sementara itu, pekerja restoran dari Indonesia Dalina Siregar, 25, gembira kerana hasratnya mendapat vaksin tercapai selepas selamat melahirkan anak kedua.

“Ini sebagai persediaan kembali bekerja dan balik ke kampung di Medan pada Januari depan. Bila dapat vaksin, agak yakin untuk bekerja dan berdepan orang ramai,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).


Pengarang :