Pasukan pengurusan jenazah lengkap berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan di Presint 20 Putrajaya pada 3 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Angka kematian wabak tinggi, banyak kes lewat terima rawatan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Ketua pembangkang bimbang dengan kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi susulan negara merekodkan 592 orang maut kelmarin iaitu keempat tertinggi di dunia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan kematian sehingga lebih 20,000 kes adalah disebabkan kelewatan pesakit menerima pemeriksaan dan rawatan.

“Meski angka yang tinggi adalah dari kes yang tertunggak (backlog), ia tetap tidak boleh menafikan fakta bahawa angka kematian ini terutamanya yang mati di luar hospital (BID) sangat tinggi dan membimbangkan.

“Setiap angka kematian itu bukan sekadar statistik tetapi adalah mereka yang punyai orang yang tersayang dari seorang nenek hinggalah kepada seorang anak kecil yang kini menjadi anak yatim atau anak yatim piatu,” katanya menerusi Facebook.

Anwar juga menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan libat urus dengan pakar dari sektor swasta sebagai usaha bagi mengelakkan lebih banyak kematian.

“Kita perlukan tahap ketelusan yang lebih lagi bagi memastikan punca kematian. Sebagai contoh, apakah terdapat kelewatan untuk para pesakit menerima rawatan,” katanya.

KKM menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my mencatatkan rekod 592 kematian Covid-19 kelmarin, dengan 88 daripadanya membabitkan kes BID menjadikan jumlah maut sebanyak 20,419.


Pengarang :