Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri sidang Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada 14 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Kit ujian kendiri percuma Selangor ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 14 SEPT: Langkah Kerajaan Selangor memberi 60,000 kit ujian kendiri secara percuma meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjalani saringan Covid-19, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun kerajaan pusat menetapkan RM19.90 bagi harga siling peralatan itu namun masih tidak mampu dibeli keluarga berpendapatan rendah.

“Saya cadang bagilah (secara percuma), untuk orang susah dan tiada kerja RM17 RM18 mereka tidak akan beli.

“Sebab itu saya ucap terima kasih kepada Selangor yang sedia 60,000 kit…Pulau Pinang 40,000, saya harap negeri lain boleh bantu tetapi ini tanggungjawab Kementerian Kesihatan dengan peruntukan besar patut lakukan,” kata ahli parlimen Port Dickson dalam perbahasan pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit itu diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kit itu mula diedar pada 3 September lalu kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.


Pengarang :