Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 28 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Tangguh projek besar, guna dana bantu rakyat susah

SHAH ALAM, 28 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menangguh atau meneliti semula projek besar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025.

Ketua pembangkang berkata peruntukan projek seperti lapangan terbang, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

“Apa faedah nak teruskan projek mega dalam keadaan orang kelaparan, menganggur, tidak cukup makan, tidak cukup mutu pendidikan.

“Tidak ada gunanya kerajaan kerajaan meneruskan projek besar sedangkan majoriti rakyat hidup dalam kesempitan,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata tumpuan perlu diberikan untuk membantu golongan Bumiputera.

“Apa salahnya tumpukan latihan, mutu pendidikan, mutu kesihatan awam kepada golongan miskin desa dan bandar yang majoritinya Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Tetapi tidak…apa yang ditekan kedudukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kontrak bagaimana hendak lahirkan ramai jutawan lagi sedangkan berjuta-juta Bumiputera yang harus diberi perhartian,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk meningkat kemudahan asas di sekolah yang terlalu daif.

“Kemudahan asas di sekolah tidak cukup, tandas sekolah…sepatutnya RMK-12 beri tumpuan kepada isu ini, utamakan perbelanjaan peringkat bawahan,” katanya.

 


Pengarang :