Kit kesihatan bernilai RM200 disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan pesakit yang kuarantin di rumah. Selain panduan, ia mengandungi alat pengukur kandungan oksigen, ubat dan jangka suhu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Asingkan diri di rumah, CAC maya pantau pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 9 SEPT: Individu sekitar Lembah Klang yang dijangkiti Covid-19 disaran membuat isolasi di rumah dengan pemantauan pusat penilaian (CAC) secara maya.

Kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyebut pengasingan diri secara serta-merta daripada penghuni lain perlu dibuat dalam tempoh 10 hari.

“Laporkan keputusan ujian Covid-19 di aplikasi MySejahtera (klik ikon ‘Helpdesk’ dan seterusnya klik pada bahagian F atau G). Perintah pengawasan dan pemerhatian akan diberikan secara digital melalui aplikasi MySejahtera,” kata kementerian itu di Facebook.

KKM juga meminta golongan terbabit membuat pemantauan kendiri menggunakan kit penilaian di rumah menerusi paparan ‘things to do’ dalam aplikasi MySejahtera.

“Status kesihatan anda akan sentiasa dipantau melalui CAC maya. Anda akan dihubungi pihak KKM jika anda memerlukan perhatian,” katanya menambah CAC Helpline boleh dihubungi di talian 03-77239299.

Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM1.25 juta bagi menyediakan kit penilaian untuk pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Inisiatif itu bagi membendung kes jenazah dibawa ke hospital (brought in dead) yang kian membimbangkan kebelakangan ini.


Pengarang :