Pengunjung mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk berkelah di Sungai Batang Kali di Hulu Selangor yang pada ketika ini masih dikategorikan sebagai Kelas 2 air bersih pada 23 Sept 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Awasi fenomena kepala air ketika beriadah di sungai, air terjun

Oleh Soon Li Wei

Artikel ini bersempena Hari Sungai Sedunia yang disambut pada Ahad terakhir bulan September setiap tahun.

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Kawasan rekreasi dan ekopelancongan yang mempunyai air terjun dan sungai kini kembali menjadi tumpuan ramai sebaik sahaja tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilonggarkan bagi beberapa negeri termasuk di Lembah Klang.

Namun, dalam keterujaan bermandi-manda di kawasan rekreasi berkenaan, ada yang alpa terhadap aspek keselamatan menyebabkan isu kes lemas di sungai dan air terjun menjadi bahan berita saban hari.

Antaranya, di Hulu Selangor sahaja, sudah ada dua kes terperangkap di sungai akibat fenomena kepala air iaitu pada 17 September dan 19 September lalu.

Insiden itu membabitkan tujuh orang lelaki di Sungai Kedondong, Batang Kali dan seorang lelaki terperangkat selama kira-kira 20 minit di seberang sungai dekat Jalan Batang Kali-Genting.

Susulan daripada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti lapan lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai dan mengistytiharkan sebagai kawasan berisiko berlaku ancaman fenomena kepala air terutama ketika musim hujan di Hulu Selangor.

Namun, masih ada yang mencuri-curi menyelinap ke dalam hutan untuk beriadah di kawasan air terjun seperti yang dilaporkan oleh media tempatan pada Selasa 28 September lepas. Dalam laporan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan 56 orang individu yang mendaki Air Terjun Setinggi, Hutan Simpan Serendah tanpa kebenaran pada 25 September lepas.

Fenomena kepala air

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Dr Md Nasir Md Noh ketika memberi pandangan mengenai fenomena kepala air berkata, kebanyakan kawasan sungai di Malaysia berisiko tinggi untuk berlakunya fenomena sedemikian, terutamanya ketika hujan lebat.

“Apatah lagi dengan perubahan iklim yang sedang melanda dunia termasuk negara kita sekarang, yang menyebabkan perubahan iklim berlaku dengan ekstrim dan sukar dijangka. Mungkin kita lihat pada tengah hari cuaca baik tetapi ia boleh berubah dalam sekelip mata dengan taburan hujan yang tinggi.

“Rujuk kepada ramalan cuaca sebelum merancang kunjungan ke kawasan ekopelancongan bersama keluarga. Bersedia dengan peralatan keselamatan dan kenal pasti kawasan dikunjungi berisiko ataupun tidak,” katanya ketika sesi webinar ‘Fenomena Kepala Air Dalam Kawasan Ekopelancongan’ anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Webinar itu turut menampilkan ahli panel lain iaitu Timbalan Pengarah Pusat Serantau Tropika Lembap Hidrologi dan Sumber Air Bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Jabatan Pengaliran dan Saliran Dr Norlida Mohd Dom dan moderator Pengarah Bahagian Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri JPSM, Mohd Yussainy Md Yusop.

Menurut Md Nasir, kejadian kepala air berlaku apabila tanah yang lemah mendapat beban atau diganggu dan tepu dengan air, mengalir ke cerun sebagai tindak balas graviti apabila hujan lebat.

“Kebiasaannya, aliran puing ataupun debris flow ini bermula dari hulu di kawasan pergunungan, mempunyai halaju (hala laju) yang tinggi iaitu 14 hingga 15 meter sesaat terutamanya di kawasan ekopelancongan, dan menyebabkan perubahan morfologi signifikan di sepanjang dasar sungai dan lereng gunung.

“Apabila fenomena kepala air berlaku, ia akan membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa seperti mana yang berlaku di Gunung Jerai, Kedah pada 18 Ogos lalu,” katanya.

Beliau menambah, kebiasaannya, fenomena kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal, antaranya perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman, aliran air tenang bertukar deras selain sampah-sarap berkumpul di satu tempat.

“Kepala air ini dalam lima hingga 10 minit boleh naik satu hingga dua meter, air daripada dua meter sesaat boleh naik sehingga 10 meter sesaat, sangat laju.

“Ada kalanya akan kedengaran bunyi letupan kuat, sama ada akar pokok tidak stabil, menyebabkan tanah pecah dan pokok tumbang. Apa yang berlaku kemudiannya kayu dan sisa akan menuju ke arah mereka.

“Jika terdengar bunyi letupan kuat ataupun apa-apa bunyi kuat luar biasa ketika bermandi-manda di sungai atau air terjun, segera tinggalkan kawasan sungai itu demi keselamatan,” nasihat beliau.

Langkah keselamatan di kawasan ekopelancongan

Nahrim, menurut Md Nasir sedang mengkaji keberkesanan teknologi Empangan Sabo yang digunapakai di luar negara seperti Jepun, Indonesia, Nepal dan Filipina sebagai struktur mitigasi bencana kepala air dan pencegahan hakisan di kawasan-kawasan berisiko tinggi.

“Kami turut berhubung dengan Kedutaan Jepun dan Institut Pendidikan di Jepun untuk membantu mengenal pasti kawasan sesuai untuk dipasang. Setakat ini, dua kawasan yang dicadangkan iaitu di kaki Gunung Kinabalu, Sabah dan Yan, Kedah.

“Antara kelebihan pemasangan Empangan Sabo adalah mengawal aliran kayu, batu dan sedimen, menstabil tebing dan dasar sungai, memelihara cerun dan biodiversiti serta untuk keselamatan setempat.

“Faktor pemilihan lokasi pembinaan Empangan Sabo adalah alur sungai relatif yang lurus dan lebar, tebing sungai yang tinggi dan kebolehupayaan tanah yang baik, ” katanya.

Md Nasir berkata, Pelan Pengurusan dan Pemantauan secara bersepadu dalam pengurusan kejadian kepala air perlu diwujudkan di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri bagi menangani fenomena itu dengan berkesan.

Antara tindakan yang disyorkan menerusi pelan ini adalah memasang papan tanda amaran kejadian kepala air, sistem ramalam dan amaran secara ‘real-time’, serta sistem pemantauan sensor pergerakan tanah dan CCTV bagi pengesanan awal di kawasan kritikal.

“Selain itu, perlu dibangunkan Debris Flow Forecasting and Warning System dan mewujudkan kumpulan pasukan petugas untuk memantau kejadian kepala air,” katanya, sambil menambah, kaedah pelan pencarian, menyelamat serta pemindahan semasa kejadian kepala air perlu disediakan mengikut kepentingan dan keselamatan pelancong serta penduduk setempat.

Banjir kilat yang berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Sungai Perigi pada 18 Ogos 2021 berpunca daripada kepala air menyebabkan kerosakan jalan raya dan kediaman penduduk di sekitar Yan Kedah. Foto pembaca media sosial

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan pembinaan lorong kecemasan untuk pengunjung melarikan diri dari kawasan sungai atau air terjun yang berlaku kejadian kepala air serta perkongsian data dengan kerjasama pelbagai agensi.

Kebersihan sungai ketika beriadah

Sementara itu, Pengurus Program Pemuliharaan Sungai, Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Dr K. Kalithasan ketika dihubungi Bernama berkata kejadian kepala air akan menjadi lebih buruk sekiranya sungai dan kawasan ekopelancongan dipenuhi dengan sampah sarap.

“Ketika kejadian kepala air berlaku, air akan mengalir deras dan turut menghayutkan kayu balak, sampah dan tersangkut di lintasan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penempatan berdekatan lalu berlakunya banjir.

“Jika aktiviti manusia seperti pembalakan, pembangunan dan kawasan ekopelancongan yang menganggap sungai itu sebagai tempat pembuangan sampah, ia bukan sahaja merosakkan landskap persekitaran malah akan memburukkan sebarang bencana yang berlaku akibat hujan lebat,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya taman eko rimba, hutan simpan dan kawasan ekopelancongan memulangkan balik bayaran tiket masuk kepada mana-mana pengunjung yang dapat membawa sampah-sarap pulang selepas aktiviti beriadah.

“Selain penguatkuasaan undang-undang dan menyediakan kemudahan tong sampah, cara ini juga boleh memupuk kesedaran masyarakat untuk membersihkan kawasan sungai selepas beriadah kerana jika ada kemudahan dan penguatkuasaan sekali pun, tabiat membuang sampah merata-rata masih lagi wujud.

“Sebagai contoh, kawasan ekopelancongan boleh mengenakan tiket masuk sebanyak RM10 setiap pengunjung dan sekiranya mereka dapat membawa pulang sampah-sarap mereka dan membersihkan kawasan sungai selepas beriadah, mereka boleh mendapat bayaran balik, mungkin RM8. Ini bermakna caj tiket masuk hanya RM2,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :