AGENDANASIONAL

Baiki paip pecah, gangguan air di enam seksyen pulih pagi esok

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pembaikan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23 yang akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di enam kawasan di sini bermula 10 malam ini dijangka pulih pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air kawasan terjejas meliputi Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25 akan disalurkan secara berperingkat sebaik kerja pembaikan siap jam 6 pagi dengan pemulihan sepenuhnya bekalan pada jam 12 tengah hari esok.

“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna terjejas untuk menyimpan bekalan secukupnya dan menggunakannya secara berhemat sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Pengurusan itu berkata lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki ini,” tambahnya.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di pusat bantuan melalui laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :