Meor Yusof Aziddin Meor Hassan (kiri) bersama anaknya Aqief membuat persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam. Foto ihsan Meor Yusof Aziddin Meor Hassan
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Balada si penghibur jalanan, lumrah ditangkap dan diusir

TIGA hari bermalam dalam lokap Penjara Pudu antara pengalaman tidak akan dilupakan pemuzik jalanan sepenuh masa Meor Yusof Aziddin Meor Hassan.

Bukan macam sekarang, dahulu ‘buskers’ dipandang serong. Macam-macam label negatif diberi. Peminta sedekah dan lebih teruk lagi penagih dadah.

Pendapatan pula tidak seberapa. Menyanyi sampai kering tekak belum tentu dapat RM50 sehari. Tidak pasal-pasal pula terpaksa tidur dalam lokap.

Bagi Meor Yusof Aziddin, kini berusia 54 tahun, peristiwa dicekup di kaki lima Pasar Seni di ibu kota Kuala Lumpur pada 2005 tetap segar dalam ingatan.

Sedang asyik bernyanyi sambil memetik gitar, dari lagu Iwan Fals, M Nasir, Kembara hingga Broery Marantika, diikuti tepukan gemuruh pendengar, tiba-tiba tiga lelaki dari celah penonton merentap tangannya. Walau tidak berseragam, bapa empat anak dapat mengagak mereka anggota polis. Memang betul, mereka dari Cawangan Khas.

Meor Yusof Aziddin Meor Hassan dipilih sebagai residen buskers di KL Sentral sejak 2010. Foto ihsan Meor Yusof Aziddin Meor Hassan

Meor Yusof Aziddin dibawa ke Penjara Pudu. Bukan beliau seorang sahaja, beberapa penghibur jalanan juga senasib dengannya. Ujian air kencing dibuat.

“Pada masa itu, saya ada tiga anak. Dalam fikiran, terbayang wajah isteri dan anak-anak terutama anak kedua Adam ketika itu berumur enam tahun kerana dia autisme.

“Saya dapat bayangkan, isteri mesti risau saya tidak balik. Macam-macam dalam fikiran, bagaimana keadaan isteri mahu uruskan keluarga tanpa saya dan macam-macam lagi,” katanya kepada Selangorkini.

Meor Yusof Aziddin dibebaskan pada hari ketiga penahanan selepas ujian menunjukkan beliau negatif dadah. Kejadian sama berulang beberapa tahun kemudian, kali ini Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur City Centre. Cuma tidak sampai bermalam dilokap, sekadar soal siasat di lokasi sahaja.

Lali dihalau

Selain kerenah pihak berkuasa, penghibur jalanan termasuk beliau juga lali dihalau pemilik kedai makan. Sesetengahnya tidak senang kehadiran kelibat mereka, dianggap mengganggu pelanggan.

Meor Yusof Aziddin mula mencebur diri dalam bidang muzik sejak hujung 80-an. Sekitar awal 90-an, beliau berpeluang mengadakan persembahan di kelab malam.

Pada 2000, beliau mula bergerak sebagai seniman jalanan, malah menjadikannya sebagai karier empat tahun kemudian.

Bukan mudah. Pendapatan tidak menentu. Kalau bernasib baik, boleh dapat lebih RM50 sehari untuk menyara isteri dan empat anaknya. Tambahan pula membesarkan Adam, kini 22 tahun, cabarannya berbeza dengan anak biasa.

Dapur tak berasap juga menjadi perkara biasa. Namun Meor Yusof Aziddin dan keluarga cekal mendepani dugaan hidup. Disokong isteri yang setia, Adam menjadi tunjang kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Rakam album

Sebenarnya, adik kepada penyanyi Sohami Meor Hassan yang popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley bukan calang-calang pemuzik. Beliau pernah merakam album terbitan M Nasir pada 1993.

Sayangnya, album itu tidak sempat memasuki pasaran berikutan isu komersial. Beliau tidak berputus asa. Pada 2001, beliau menghasilkan album menerusi syarikat rakaman indie Nebiula Production dengan judul Pesta Jiwa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan 10 album berkonsep indie, semuanya bertema kehidupan dan kemanusiaan.

Meor Yusof Aziddin Meor Hassan aktif mengadakan persembahan sejak hujung 80-an. Foto ihsan Meor Yusof Aziddin Meor Hassan

Walaupun hasil jualan tidak selaris album komersial, yang penting beliau puas. Apatah lagi, sokongan penggemar muzik indie sedikit sebanyak menambah pendapatannya. Lebih-lebih lagi, diam di kota metropolitan serba-serbinya duit.

Selain muzik, Meor Yusof Aziddin juga berbakat dalam mencipta lagu dan menulis. Buku pertama beliau, Sembang Tepi Jalan diterbitkan pada 2009 diikuti Syurga Yang Hilang, Sembang Kehidupan dan Gila Muzik. Buku ini masih dijual di Shopee dan Lazada.

Beliau juga pernah menjadi kolumnis tetap di Malaysia Insider, Malaymail Online dan Malaysian Insight, kebanyakannya berkisar isu muzik, budaya dan kehidupan.

Tidak seperti dahulu, pemuzik jalanan kian diiktiraf pelbagai pihak. Dari kerajaan hingga ke syarikat swasta dan badan bukan kerajaan. Bahkan, mereka sering mendapat undangan persembahan.

Meor Yusof Aziddin sendiri dipilih Keretapi Tanah Melayu Berhad sebagai residen buskers di KL Sentral sejak 2010. Beliau juga antara 500 pemuzik jalanan yang terlibat dalam Kita Buskers Selangor, program yang menempatkan mereka ke enam pusat pemberian vaksin.

Bersama anak ketiga, Aqeef, 19, mereka memetik gitar di PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 24 Ogos lalu.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai pemuzik jalanan tertekan kerana putus mata pencarian. Alhamdullilah, Kerajaan Selangor peka. Negeri lain wajar mengikuti contoh langkah ini,” katanya.

Sepanjang PKP, beliau membuat persembahan menerusi akaun Facebooknya. Biarpun pendapatan berkurangan hampir separuh berbanding persembahan di luar tetapi beliau cekal mendepani Covid-19.


Pengarang :