Penduduk membersih rumah susulan kejadian banjir kilat di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Banjir kilat, 1,000 penduduk Kampung Kebun Bunga terjejas

SHAH ALAM,27 SEPT: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat semalam.

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari berkata kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah paling terus terjejas apabila rumah mereka dinaiki air sehingga paras lutut.

“Banjir kilat ini juga mengakibatkan Surau Al Hasani di kampung ini dinaiki air sehingga merosakkan karpet dan sejadah,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu tinjauan SelangorKini mendapati penduduk sedang membersihkan kediaman selepas air mulai surut pagi tadi.

Petang semalam beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan beberapa kawasan dinaiki air sejak jam 3 petang dengan lokasi paling teruk terjejas di sekitar Stadium Shah Alam di Seksyen 13.

Menurut beliau, beberapa laluan di sekitar kawasan itu dinaiki air sehingga empat kaki menyebabkan sebuah kenderaan terkandas dalam banjir kilat namun pemandunya sempat menyelamatkan diri.

 


Pengarang :