Paras air Sungai Selangor meningkat selepas hujan lebat berterusan sejak 18 September 2021. Foto Ihsan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Banjir kilat di Kuala Selangor, 68 keluarga terjejas dipindahkan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Seramai 201 mangsa terjejas dalam kejadian banjir kilat di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya; Kampung Parit Mahang, Jeram dan Kampung Tanjung Siam dekat Kuala Selangor pada Sabtu.

Susulan itu,  tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan dibuka bagi menempatkan mangsa yang membabitkan 68 keluarga.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar, Juwairiya Zulkifli berkata PPS SK Rantau Panjang dibuka pada Ahad lepas, SK Parit Mahang mula beroperasi semalam manakala SK Pasangan yang  dibuka pagi tadi.

“Seramai 36 keluarga melibatkan 100 penghuni di Kampung Tanjung Siam terpaksa dipindahkan di PPS SK Pasangan yang dibuka jam 10 pagi tadi.

Keadaan sebuah rumah mangsa yang terjejas banjir kilat. Foto Ihsan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli

“Kejadian dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Selangor yang masuk ke rumah penduduk berdekatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor berkata seramai 90 mangsa membabitkan 27 keluarga ditempatkan di PPS SK Rantau Panjang dan 11 mangsa daripada lima keluarga di PPS SK Parit Mahang.

“Kejadian ini berpunca dari hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu di mana air naik sehingga satu meter hingga menyebabkan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan,” kata Leftenan (PA) Maizura Suradi ketika dihubungi.

Beliau yang juga Pemangku Pegawai Pertahanan Awam daerah Kuala Selangor berkata pihaknya juga memantau situasi di Kampung Kuantan di mana kawasan ini juga dinaiki air.


Pengarang :