Peniaga masih meneruskan perniagaan seperti biasa walau kedai di penuhi air banjir ketika tinjauan SelangorKini di Meru, Klang pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Banjir kilat, peniaga terpaksa teruskan operasi elak tanggung rugi

KLANG, 27 SEPT: Seorang pengusaha gerai makanan terpaksa meneruskan operasi perniagaan seperti biasa biarpun tempat niaganya dinaiki air akibat kejadian banjir kilat.

Nonarita Mohamed, 39, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak kerugian kerana persiapan sudah dilakukan selain membeli keperluan berniaga.

Nonarita Mohamed, 39

“Saya hanya berserah kepada Allah sahaja kerana berniaga dalam keadaan seperti ini dan pekerja juga terpaksa bekerja walaupun kedai dinaiki air.

“Namun saya risau keadaan banjir semakin buruk jika hujan berterusan dan mungkin memasuki rumah. Saya berharap pihak bertanggungjawab melihat semula sistem perparitan,” katanya kepada SelangorKini.

Pekerja kedai makan Ramlah Nawi, 37, berkata beliau menyedari kejadian banjir pada jam 3 pagi dan ketika itu hujan amat lebat.

“Apabila tersedar saya melihat air sudah mula naik di bahagian hadapan rumah dan kasut semua ditenggelami air.

“Namun saya terpaksa meninggalkan rumah sementara waktu kerana majikan hendak membawa ke Petaling Jaya untuk mengambil vaksin,” katanya.

Pekerja bengkel motosikal mengemas bengkel yang di penuhi air banjir ketika tinjauan SelangorKini di Meru, Klang pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pemilik bengkel motosikal Mohd Syafiq Sakima, 31, memaklumkan beliau sudah menjangka bengkelnya dinaiki air kerana hujan lebat lebih dua jam tanpa henti.

“Saya datang ke bengkel pada jam 8 pagi dan melihat kedai dinaiki air. Buat masa ini, bengkel mungkin tutup untuk dua hari kerana kerja membersih perlu dijalankan sebelum beroperasi semula.

“Dianggarkan kerugian dialami RM3,000 atau mungkin lebih kerana perlu membuat menilai kerosakan yang dialami,” katanya.

 


Pengarang :