AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan zakat RM500 kepada guru tahfiz diagih segera

SHAH ALAM, 3 SEPT: Lembaga Zakat Selangor meluluskan sebilangan permohonan guru pusat tahfiz untuk mendapat bantuan RM500 bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) berkata bantuan sekali bayar itu dijangka dimasukkan dalam akaun pemohon masa terdekat.

Menurut Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz, pihaknya berterima kasih kepada LZS kerana mempermudahkan proses permohonan itu dengan menyediakan pautan khas.

“Kita anggarkan 1,000 hingga 2,000 guru akan mendapat bantuan itu, kita harap mereka memohonnya segera.

“Bantuan pusat tahfiz pula akan diperincikan selepas kita menghantar cadangan kepada LZS esok (hari ini) yang membabitkan 101 permohonan,” katanya di sini, semalam.

Pada 18 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop mengumumkan bantuan RM500 setiap seorang kepada 1,000 guru tahfiz dan sumbangan RM1,500 bagi kesemua 250 buah tahfiz di Selangor bagi meringankan beban mereka.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM200,000 kepada 250 pusat tahfiz di bawah Pitas untuk membayar kos utiliti dan sewa bangunan sepanjang perintah kawalan.


Pengarang :