Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai @ Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Banyak sambutan, DUN Bukit Antarabangsa mohon tambahan vaksin negeri

AMPANG, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa memohon tambahan 250 dos bagi menjayakan program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak berikutan sambutan luar jangka.

Penyelarasnya berkata kuota 250 dos ketika ini tidak cukup untuk menampung jumlah pendaftaran yang ramai dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) termasuk tanpa janji temu.

Suzana Shaharudin turut mencadangkan program yang melibatkan komuniti sekitar DUN Lembah Jaya diadakan sekali lagi bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaat.

“Alhamdulillah, Selgate Healthcare memahami keadaan ini dan menyediakan dos tambahan diperlukan. Cuma melihat sambutan diterima, kemungkinan besar program ini perlu diadakan sekali lagi.

“Sebanyak 60 peratus peserta yang hadir adalah warga asing manakala selebihnya rakyat tempatan. Ini bermakna masih ada rakyat kita belum menerima suntikan pelalian,” katanya ditemui di Dataran Santai Ampang Point di sini hari ini.

Orang ramai mendaftar di kaunter disediakan sebelum menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai @ Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, penyelaras DUN Lembah Jaya akan memohon kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program vaksin bergerak khusus buat penduduk di kawasan terbabit.

“Saya percaya masih ada saki-baki yang belum divaksin berkemungkinan mereka takut untuk keluar rumah. Jadi, kita akan bincang dengan pihak Selgate berhubung perkara ini.

“Dengan cara ini kita mampu mencapai hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat,” kata Daing Muhammad Reduan Bachok.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Bukit Antarabangsa, DUN terlibat Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :