Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada penerima dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Hulu Bernam di Dewan Orang Ramai Hulu Beram pada 14 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banyak sambutan, MB hasrat teruskan Vaksin Selangor bergerak

SHAH ALAM, 15 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak akan diteruskan berikutan sambutan positif daripada penduduk negeri ini, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara yang menerima manfaat ialah warga emas, mereka yang belum divaksin kerana tidak mempunyai pengangkutan serta warga asing.

“Sepanjang minggu ini, Kerajaan Selangor melaksanakan program Selvax bergerak atau Selvax Mobile di beberapa kawasan. Sebanyak 50,000 dos diperuntuk bagi menjayakan program ini.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat mengalakkan dan akan diteruskan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Sukarelawan DUN Batu tiga membantu orang ramai mendaftar Langkah Masuk Dengan Selamat (SELagkah)
dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batu Tiga di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 13 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selvax bergerak bermula 13 September memperuntuk sebanyak 50,000 dos vaksin bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Bandar Baru Klang, Batu Tiga dan Tanjung Sepat, DUN lain yang terlibat ialah Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :