AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air 463 kawasan terjejas pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 5 SEPT: Bekalan air bersih di 463 kawasan terjejas berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan lima wilayah yang terjejas iaitu Kuala Langat, Sepang, Putrajaya, Hulu Langat dan Petaling telah mencapai pemulihan bekalan air 100 peratus pada jam 12 tengah hari.

“Air Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.


Pengarang :