AGENDANASIONAL

Bekalan air pulih berperingkat, cecah 26 peratus setakat tengah hari

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bekalan air bersih ke 463 kawasan terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mencapai tahap 26 peratus setakat jam 12 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Hulu Langat pulih 61.1 peratus, Sepang (43.3 peratus), Putrajaya (17.4 peratus) manakala Petaling dan Kuala Langat belum pulih.

Syarikat pengurusan air itu menjelaskan tempoh pemulihan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 3 September 2021,” kata Air Selangor dalam kenyataan.

Syarikat itu berkata bantuan bekalan alternatif terus digerakkan melalui lori tangki air kepada
pengguna dan premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.

Maklumat bekalan air dimuatkan di semua platform media sosial Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :