AGENDANASIONAL

Bekalan air semakin pulih, cecah 74 peratus setakat 10 malam

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kadar pemulihan bekalan air di 463 kawasan di lima wilayah yang terjejas akibat pencemaran bau telah mencapai tahap 74 peratus.

Berdasarkan makluman terkini Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Facebook, bekalan air bersih di wilayah Hulu Langat pulih sepenuhnya pada jam 10 malam tadi.

“Untuk makluman, proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat, bergantung kepada tekanan air dan jarak lokasi kediaman pengguna dalam sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Menerusi perkongsian jadual, Air Selangor memaklumkan dua wilayah telah melepasi 90 peratus pulih iaitu Sepang dengan 95.9 peratus dan Putrajaya sebanyak 91.3 peratus.

Dua lagi wilayah iaitu Kuala Langat mencatat 85 peratus dan Petaling sebanyak 37.8 peratus.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Loji Rawatan Air (LRA)Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.


Pengarang :