Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan air terawat bersih disalur berperingkat ke 463 kawasan terjejas

SHAH ALAM, 4 SEPT: Bekalan air terawat yang bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di 463 kawasan terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih sejak jam 5.30 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan di kesemua kawasan dan ia dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, Isnin ini.

“Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau menambah sebanyak 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/


Pengarang :