Bekas atlet olahraga paralimpik kebangsaan, Mohd Raduan Emeari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Bekas jaguh pecut para sedia terima kembali tawaran MSN

KUALA SELANGOR, 11 SEPT: Bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari sedia menerima tawaran kerja Majlis Sukan Negara (MSN) yang pernah ditolak sebelum ini.

Bekas pelari pecut berusia 39 tahun itu berharap mampu menyumbang jasa dan tenaga bagi membantu industri sukan negara.

“Dulu tolak sebab ada masalah keluarga tetapi sekarang saya bersedia membantu perjuangan negara.

“Saya mahu gunakan ilmu serta pengalaman yang ada untuk bantu atlet kurang upaya supaya terus maju dan berjaya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu beliau diziarahi Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, Ketua Tanggungjawab Sosial Koporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor serta wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Belia dan Sukan Selangor.

Bekas atlet olahraga paralimpik kebangsaan, Mohd Raduan Emeari dan ibunya, Normah Hassan melihat barangan keperluan harian yang diterimanya dalam program lawatan dan sumbangan CSR MBI di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mohd Raduan yang juga bekas atlet Selangor kini bekerja di stesen minyak selepas digugurkan daripada Program Podium pada penghujung 2017.

Awal tahun lalu, jaguh acara 100 meter dan 400 meter (T36) dilantik sebagai penggerak sukan olahraga para bagi mencungkil bakat baharu di negeri ini dengan bayaran RM350 setiap bulan.

Anak ketiga daripada empat beradik itu mewakili Malaysia di temasya Sukan Para ASEAN Filipina 2005, Korat 2007, Solo 2011, Naypyitaw 2013, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Beliau juga beraksi pada Sukan Para Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014 selain Paralimpik Beijing 2008.


Pengarang :