Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika hadir pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Parlimen pada 14 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Belanja urus kerajaan tinggi berbanding hasil, naik 5.7 peratus

SHAH ALAM, 23 SEPT: Dewan Rakyat diberitahu perbelanjaan pengurusan kerajaan pusat berjumlah RM164.2 bilion dalam tempoh separuh tahun ini lebih tinggi berbanding RM106.4 bilion hasil diterima.

Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah berkata dana mengurus itu meningkat 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak RM117.4 bilion disalur untuk belanja mengurus, RM28.4 bilion perbelanjaan pembangunan manakala RM18.4 bilion kepada Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19).

“Sebahagian besar perbelanjaan mengurus iaitu 65.5 peratus daripadanya untuk menampung pembayaran emolumen (RM43.2 bilion), khidmat hutang (RM18.4 bilion) dan persaraan (RM15.3 bilion).

“Bagi perbelanjaan pembangunan pula 82.5 peratus disalur kepada sektor ekonomi dan sosial manakala sebahagian KWC-19 membiayai Bantuan Prihatin Nasional, subsidi upah serta Geran Khas Prihatin,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PAKATAN-Bukit Bintang) yang meminta penjelasan berhubung jumlah hasil diterima dan perbelanjaan kerajaan pada tahun ini.

Menjawab jumlah hasil pula, Shahar berkata walaupun hasil diterima iaitu RM106.4 bilion meningkat 4.6 peratus daripada kutipan tahun lalu namun prestasinya perlahan berbanding anggaran dalam Belanjawan 2021.

“Sejumlah RM80.2 bilion adalah hasil cukai manakala RM26.2 bilion hasil bukan cukai,” jelasnya.


Pengarang :