Sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi penerangan kepada ibu bapa dan pelajar sebelum menerima suntikan pelalian dalam Program Vaksinasi Remaja 16 dan 17 tahun Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Beri kelonggaran pelajar pilih PPV berhampiran rumah

KUALA SELANGOR, 29 SEPT: Kerajaan persekutuan disaran permudah lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) kepada golongan remaja.

Ahidah Md Din,50, berkata PPV yang ditetapkan dalam program vaksin remaja ketika ini agak jauh dari alamat rumah pelajar.

“Saya tinggal di Ampang tetapi perlu membawa anak ke PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

“Sepatutnya pelajar boleh memilih PPV berhampiran rumah masing-masing. Jadual ditetapkan perlu lebih sistematik dan memudahkan ibu bapa membawa anak,” katanya kepada SelangorKini.

Ahidah Md Din, 50. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ahidah berkata pemberian vaksin kepada golongan remaja perlu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Golongan remaja juga terdedah dengan jangkitan dan risau apabila sekolah dibuka tidak lama lagi.

“Malah dengan menerima suntikan kuliah dapat dijalankan secara bersemuka supaya pelajar lebih fokus,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.

 


Pengarang :