Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M. Yusop memberi kata-kata semangat kepada pelajar tajaan LZS dalam Program Penghantaran Pelajar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Jordan di Jais pada 15 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Biasiswa zakat Selangor bantu anak asnaf lanjut pelajaran ke luar negara

SHAH ALAM, 16 SEPT: Impian seorang anak asnaf miskin melanjutkan pelajaran ke luar negara tercapai selepas mendapat tajaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Siti Saroh Shafie, 18, berkata impiannya untuk menimba ilmu di di bumi Jordan mungkin tidak tercapai tanpa tajaan itu memandangkan keluarganya bukan golongan senang.

Siti Saroh Shafie, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tanpa bantuan zakat (LZS) mungkin saya tidak akan pergi ke Jordan. Keluarga saya didaftarkan asnaf miskin setahun lalu selepas ayah tidak lagi mampu bekerja dan ibu pula suri rumah.

“Sekarang perbelanjaan bulanan keluarga mengharapkan wang pencen ayah serta sumbangan zakat. Ayah menjalani dialisis dan segala kos rawatan serta ubatan ditanggung zakat,” katanya.

Anak keenam daripada 11 beradik itu yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Yarmouk merupakan antara lima pelajar yang mendapat tajaan LZS.

Sementara itu Muhd Irsyad Hafizi Azhar, 18, yang turut belajar di universiti sama bersyukur terpilih sebagai penerima Biasiswa Dato’ Menteri Besar.

Bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu berkata anggaran perbelanjaan sepanjang empat tahun pengajian Ijazah Fiqh Usuluddin nanti hampir RM160,000.

Muhd Irsyad Hafizi Azhar, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini termasuk yuran, penginapan, wang persediaan, sara hidup dan kos membeli buku.

“Terima kasih Kerajaan Selangor yang menaja. Jumlah ini sangat besar dan bermakna kepada saya serta keluarga,” katanya yang tinggal di Sabak Bernam.

Dua pelajar itu ditemui bersama 63 pelajar lain di Program Penghantaran Pelajar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) malam tadi.

Mereka berlepas ke Jordan jam 2 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


Pengarang :