Petugas kesihatan membantu menolak kerusi roda warga emas yang selesai melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Boleh kunjungi CAC di Selangor tanpa janji temu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor boleh dikunjungi pesakit Covid-19 tanpa melalui proses janji temu, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata perkembangan itu susulan penurunan jumlah kes wabak dan pesakit dapat diurus tanpa kesesakan berlaku di pusat tersebut.

“Di beberapa negeri, kita sudah pun beralih kepada ‘walk ini’ untuk CAC sebagai contoh di Selangor, kita sekarang ini tak perlu lagi ada janji temu.

“Beberapa negeri telah pun beralih kepada ‘walk in’ disebabkan jumlah kes yang semakin menurun dan pengumuman akan dibuat di peringkat negeri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-Bersatu) yang bertanyakan bagaimana pengoperasian CAC sama ada melalui janji temu atau sebaliknya.

Beliau menambah KKM giat berusaha mewujudkan CAC maya di negeri lain bagi menangani peningkatan pesakit Covid-19 seluruh negara.

“Semasa peningkatan kes pada pertengahan Julai lalu, CAC maya diwujudkan bagi pantau pesakit kategori satu dan dua.

“Hasil penubuhan CAC maya, kedatangan pesakit di Lembah Klang rendah dan sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun jumlah kes positif masih lagi di paras sedikit tinggi,” katanya.

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :