Sukarelawan Selangor (SERVE) bergotong royong mengangkat bakul makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir dalam misi bantuan mangsa bencana fenomena kepala air di Kampung Titi Teras, Yan, Kedah pada 1 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Cadang serap SERVE dalam unit pengurusan bencana negeri

YAN BESAR, 1 SEPT: Kerajaan Negeri bercadang untuk meletakkan Sukarelawan Selangor (SERVE) bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, kata EXCO Pembangunan Generasi Muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata keperluan memasukkan SERVE di dalam unit itu bagi memastikan khidmat sukarelawan kepada masyarakat sekiranya berlaku bencana.

“Kerajaan Negeri serius dalam memperkasakan peranan belia dalam kalangan masyarakat yang sememangnya berminat untuk menyertai misi bantuan.

“Penubuhan SERVE juga kerana kita melihat keperluan sukarelawan dengan penglibatan individu berusia 36 tahun ke atas ketika proses vaksinasi rancak dijalankan di pusat pemberian vaksin sebulan lalu,” katanya ditemui pada Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Yan, Kedah.

Mohd Khairuddin turut memaklumkan Kerajaan Negeri mengalu-alukan belia menyertai SERVE dan permohonan boleh dibuat menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran.

29 Ogos lalu, hampir 50 ahli SERVE digerakkan ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Kerajaan Selangor menyasarkan 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini manakala sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di seluruh DUN tahun depan.


Pengarang :