Seorang sukarelawan (kiri) membantu orang ramai yang hadir tanpa janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) mega Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cadang tempoh rebat ke PPV dilanjut, benar dua kali tebus

SHAH ALAM, 1 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bercadang melanjutkan tempoh penebusan rebat RM20 sehingga November bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata inisiatif yang tamat hujung bulan ini memanfaatkan 7,930 individu daripada keseluruhan 10,117 permohonan setakat Ogos.

“Kita cadang penebusan dilanjut mungkin sehingga November sebagai persediaan jika kerajaan memutuskan memberi vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata MBI juga akan memohon kepada negeri untuk membenarkan orang ramai menebus rebat yang ketika ini terhad untuk sekali perjalanan kepada dua kali.

Ahmad Azri menjelaskan cadangan itu bagi meningkatkan jumlah penebusan yang setakat ini hanya menggunakan 10 peratus daripada peruntukan RM1 juta.

“Ada sedikit penurunan permohonan mulai awal Ogos, sebab itu kita beri cadangan baharu kepada kerajaan supaya lebih ramai dapat menikmatinya,” katanya lagi.

Permohonan rebat menggunakan perkhidmatan Grab yang dibuka mulai 20 Jun sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur antara 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.

Pendaftaran boleh dibuat melalui rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com.


Pengarang :