EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian
EXCOSELANGOR

Caj 20 sen beg plastik naik jika kesedaran masyarakat kurang

KLANG, 27 SEPT: Kadar caj beg plastik 20 sen yang dikuatkuasakan di Selangor bakal dinaikkan sekiranya kempen bebas plastik sejak beberapa tahun lalu gagal mencapai matlamat.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pihaknya akan meneliti jumlah kutipan setiap tahun sebelum menukar polisi caj bayaran.

“Tahun lepas kita kutip lebih RM6.6 juta. Tahun ini sehingga Jun kita dapat lebih RM2.5 juta. Jika kutipan bertambah setiap tahun bermakna kita gagal sedarkan masyarakat berkenaan penggunaan plastik.

“Kita naikkan caj sebab nak galakkan masyarakat tidak lagi guna beg plastik demi menjaga alam sekitar. Kalau masih degil kita akan tingkatkan kadar caj,” katanya ketika majlis penutup Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat DUN Sentosa semalam.

Menurut Loy Sian setiap tahun hasil kutipan caj beg plastik diberikan 60 peratus kepada Kerajaan Selangor manakala bakinya diserah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Wang dikumpul ini dimasukkan dalam tabung amanah yang akan diguna untuk laksana program kemasyarakatan serta bermanfaat untuk rakyat,” katanya.

Bermula Januari 2017, peniaga di Selangor tidak menyediakan beg plastik percuma dan diarah menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis.


Pengarang :