Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Celik hak pengguna, waspada jual beli tidak adil

OLEH GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA (FOMCA)

SHAH ALAM, 15 SEPT: “Pengguna secara takrifannya melibatkan kita semua, pengguna yang merupakan kumpulan ekonomi yang terbesar dalam ekonomi negara, mempengaruhi dan dipengaruhi oleh hampir setiap keputusan ekonomi peribadi dan umum. Tetapi mereka adalah satu-satunya kumpulan penting yang tidak diurus secara berkesan, yang pandangan mereka yang tidak didengari” – John F. Kennedy, bekas presiden Amerika Syarikat (1962).

Semua pihak sedang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 yang seterusnya menyebabkan rakyat dibelenggu dengan krisis ekonomi sebaik sahaja arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan sejak Mac 2020 di mana rakyat tidak boleh keluar bekerja seperti biasa.

Perkara ini menyebabkan ramai rakyat yang makan gaji telah hilang pekerjaan, pemotongan gaji, cuti tanpa gaji manakala bagi rakyat yang bekerja sendiri pula terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.

Apabila banyak pihak yang terdesak, terdapat pula isu peniaga yang tidak bertanggungjawab mula mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat. Oleh sebab itu, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kesedaran hak dan tanggungjawab pengguna dan pengguna juga perlu lebih bijak dalam membuat pilihan supaya anda tidak terpedaya dengan urusan jual beli barangan atau perkhidmatan yang tidak adil.

Pihak KPDNHEP telah menjalankan kajian Consumer Empowerment Index (CEI) bagi tahun 2020 yang merangkumi tiga domain utama iaitu keputusan membeli, celik kewangan dan tebus rugi. Hasil daripada kajian tersebut, peratusan CEI bagi pengguna secara keseluruhannya di peringkat nasional ialah 63.1 peratus yang bermaksud tahap kesedaran pengguna Malaysia berada di tahap sederhana. Manakala CEI bagi peringkat Selangor pula ialah 66.7 peratus.

Berdasarkan data tersebut juga menunjukkan beberapa daerah yang agak rendah tahap kesedaran pengguna iaitu daerah Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Pengguna di Selangor kebanyakannya mempunyai kesedaran mengenai isu kepenggunaan tetapi mereka agak skeptikal dengan tuntutan tebus rugi kerana kebanyakannya berpendapat usaha mereka tidak berbaloi dan juga urusan tuntutan yang agak rumit yang melemahkan semangat mereka untuk membuat tuntutan.

Di sini FOMCA ingin berkongsikan mengenai lapan hak pengguna untuk pemerkasaan diri pengguna. Pada tahun 1962, John F. Kennedy, bekas presiden Amerika Syarikat telah menetapkan empat hak pengguna yang utama iaitu hak untuk mendapatkan keselamatan; hak untuk mendapatkan maklumat; hak untuk membuat pilihan dan hak untuk mendapatkan ganti rugi.

Kemudian, pada 1985 Consumers International telah menambah lagi empat hak pengguna yang menjadikan jumlah keseluruhannya lapan hak pengguna yang diterima pakai oleh seluruh dunia. Empat hak pengguna tambahan tersebut ialah hak untuk mendapatkan keperluan asas; hak untuk bersuara; hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna dan hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.

Pelitup muka diwajibkan di tempat awam bagi menangani penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI


Hak untuk mendapatkan keselamatan

Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan pengguna. Pada waktu pandemik ini, kita dapat lihat terdapat peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual pelitup muka palsu dan juga oximeter palsu.

Selain itu, kandungan cecair pembasmi kuman yang dijual bersama dengan spray gun juga tidak diketahui kerana tiada badan yang memantau produk ini. Adakah ia benar-benar dapat membunuh virus Covid-19? Adalah menjadi tanggungjawab peniaga untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan yang selamat digunakan dan berkualiti.

Hak untuk mendapatkan maklumat

Pengguna berhak untuk diberitahu fakta-fakta yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta pelabelan yang tidak jujur atau mengelirukan. Oleh sebab itu, maklumat pelabelan produk amatlah penting untuk makluman pengguna.

Sebagai contoh, pengguna berhak untuk mendapatkan maklumat mengenai kandungan bahan yang terdapat di dalam cecair pembasmi kuman yang dijual bersama dengan spray gun ataupun maklumat oximeter sama ada berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) atau tidak sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli.

Barang-barang yang terjual melalui platform e-dagang juga perlulah memberikan maklumat yang tepat kepada pengguna. Manakala pengguna pula, rajinkanlah diri anda untuk membaca dengan teliti maklumat produk seperti yang tertera.

Jika terdapat maklumat yang meragukan, jangan segan atau takut untuk bertanya maklumat mengenai produk kepada pihak peniaga kerana anda sememangnya berhak untuk mendapatkan maklumat produk dengan lebih terperinci sebelum anda membuat keputusan untuk membeli.

Petugas farmasi Aineen Sofea Mohd Sulaiman, 18, menyusun set kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 yang dijual pada harga baharu iaitu RM19.90 ketika tinjauan di sebuah farmasi di Ayer 8, Putrajaya pada 6 September 2021. Foto BERNAMA


Hak untuk membuat pilihan

Pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan. Sebagai contoh, baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan mengenai penambahan 40 kit ujian kendiri Covid-19 yang diluluskan MDA.

Apabila pengguna mempunyai banyak pilihan, perkara ini akan memberikan persaingan yang sihat kepada industri dan secara tidak langsung harga kit ujian kendiri akan turun dan pengguna berpeluang untuk memilih kit ujian kendiri mengikut bajet kewangan masing-masing.

Hak untuk mendapatkan ganti rugi

Hak untuk mendapatkan ganti rugi bermaksud hak untuk mendapatkan penyelesaian tuntutan. Pengguna berhak mendapatkan penyelesaian untuk pembelian barang yang cacat atau berbahaya atau perihal dagangannya yang mengelirukan serta pampasan bagi perkhidmatan yang tidak menepati perjanjian.

Memandangkan ramai pengguna sudah terbiasa dengan situasi norma baharu dan semakin ramai yang mula selesa membeli barangan melalui platform e-dagang. Namun begitu, ada juga yang berhadapan dengan situasi barang hilang akibat kecuaian daripada pihak kurier.

Jika pengguna ada mengambil insurans bagi barangan pos tersebut, maka pengguna berhak untuk membuat tuntutan daripada pihak kurier. Jika barang pos tersebut mahal, pengguna dinasihatkan untuk mengambil insurans bagi menjamin keselamatan barang tersebut.

Jika barang tersebut hilang, pengguna boleh membuat tuntutan dengan pihak kurier. Jika pihak kurier enggan memberikan ganti rugi terhadap pengguna, maka pengguna boleh membuat aduan melalui laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi, https://aduan.skmm.gov.my/ atau emelkan ke [email protected]

Hak untuk mendapatkan keperluan asas

Pengguna berhak untuk mendapat keperluan asas bagi meneruskan kehidupan yang memuaskan seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan, pendidikan, kemudahan awam, air dan sanitasi. Sepanjang tempoh PKP ini, kita boleh lihat trend penyewa rumah yang dihalau oleh tuan rumah semakin meningkat.

Perkara ini berlaku kerana mereka tiada pendapatan untuk membayar sewa rumah. Bukan semua rakyat mampu untuk membeli rumah kerana harga rumah yang terlampau mahal yang tidak seiring dengan gaji minimum rakyat Malaysia. Maka kini nasib penyewa rumah pula dalam dilema, dengan berbekalkan duit bantuan kerajaan yang ada, adakah mereka perlu gunakan duit tersebut untuk membeli keperluan makanan atau untuk membayar sewa rumah mereka?

Orang ramai berpusu-pusu ke sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam pada 29 Mei untuk membeli barangan keperluan harian ekoran pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ selama 14 hari bermula 1 Jun. Foto BERNAMA


Hak untuk bersuara

Pengguna berhak untuk bersuara bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan, serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan oleh pengeluar.

Oleh sebab itu, jika pengguna mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barangan keperluan asas terlampau tinggi ataupun jika pengguna mendapati terdapat peniaga yang menyorok stok barang (harga terkawal), maka pengguna berhak untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya pihak berkuasa dapat menyiasat perkara tersebut.

Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna

Pengguna berhak untuk mendapatkan pendidikan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak dalam pembelian barangan dan perkhidmatan, serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Oleh sebab itu, FOMCA sentiasa mengalu-alukan penglibatan pengguna dalam program pendidikan pengguna yang dijalankan oleh FOMCA. Walaupun kita terikat dengan peraturan SOP Covid yang masih belum membenarkan aktiviti sosial namun FOMCA tetap komited untuk menjalankan program kesedaran pengguna secara atas talian.

Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak untuk hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih, sihat dan tidak berbahaya kepada generasi masa kini serta generasi akan datang. Akhir kata, kita semua adalah pengguna yang mana kita sentiasa terlibat dengan pembelian barangan atau perkhidmatan untuk kegunaan sendiri.

Ayuh, pengguna Selangor, mari lengkapkan diri anda dengan kemahiran pengurusan diri kepenggunaan melalui program webinar anjuran FOMCA dengan kerjasama Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna. Program webinar ini adalah percuma dan terbuka untuk semua pengguna di Selangor. Untuk menyertai program webinar kepenggunaan ini, sila emelkan ke [email protected].


Pengarang :