Pesakit Covid-19 melakukan pendaftaran sejurus tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 21,771 pesakit sembuh, melebihi kes baharu

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Sebanyak 21,771 jumlah pesakit sembuh akibat jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini sekali gus melebihi kes baharu iaitu 19,550.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kumulatif kes sembuh kini 1,700,733.

Beliau berkata daripada 19,550 kes harian yang dilaporkan, 265 kes atau 1.4 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 19,285 kes atau 98.6 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah kes baharu juga, tujuh adalah kes import melibatkan lima warganegara dan dua rakyat asing manakala 19,543 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,153 warganegara dan 2,390 rakyat asing.

“Seramai 936 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 453 daripadanya perlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 28 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam melibatkan 17 kluster di tempat kerja, enam kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan dua kluster pendidikan lain.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.99 dengan semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Kedah, Putrajaya, Sabah, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Labuan.

Beliau berkata Sarawak mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.15 diikuti Terengganu (1.10), Perlis (1.06), Perak (1.05), Johor dan Pulau Pinang masing masing 1.04, serta Kelantan dan Pahang masing-masing 1.03.

– BERNAMA


Pengarang :