Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19, dokumen tidak lengkap antara sebab tangguh nikah 165 pasangan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 165 kes nikah tertangguh di Selangor sejak 1 Julai hingga semalam, disebabkan pasangan pengantin atau wali dijangkiti Covid-19 selain gagal melengkapkan dokumen.

Pegawai Perhubungan Awam Seksyen Komunikasi Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan segelintir individu yang berkeras mahu meneruskan pernikahan biarpun positif Covid-19.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hanya mengundang risiko kepada orang sekeliling.

“Mohon jangan jadi penyebar dan habiskan tempoh kuarantin terlebih dahulu kerana selepas itu pernikahan boleh diteruskan,” kata Wan Zainal Shahriman ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau mengulas berikutan terdapat kes pasangan pengantin yang tetap hadir ke Jais meskipun disahkan positif Covid-19.

Selain itu, Wan Zainal menyeru pihak yang tidak cukup butiran dokumen pernikahan juga diminta melengkapkannya dengan kadar segera agar urusan berjalan lancar.

Sementara itu,  katanya setakat Januari hingga Jun lalu, sebanyak 10,191 pasangan telah dinikahkan.

Sebelum ini Jais membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah dari Isnin hingga Ahad.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5514 3400/3600 atau emel [email protected].


Pengarang :