Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Jumlah harian pesakit sembuh atasi kes baharu

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Jumlah harian pesakit yang pulih daripada Covid-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 16,628 kes pulih dilaporkan berbanding 13,754 kes baharu yang direkodkan setakat 12 tengah tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan tersebut menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,933,716 orang.

Beliau berkata terdapat 1,107 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 868 kes disahkan Covid-19 manakala 239 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 613 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 387 kes positif sementara 226 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 233 kes atau 1.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 13,521 kes atau 98.3 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 15 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan lapan kluster melibatkan komuniti manakala tujuh kluster melibatkan tempat kerja.

Menurutnya kadar kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught) seluruh negara pada hari ini ialah 0.92 dengan Pahang menjadi negeri yang mencatatkan nilai R-Naught tertinggi iaitu 1.03 sementara Labuan menjadi satu-satunya negeri yang merekodkan R-Naught sifar.

Dr Noor Hisham berkata data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman GitHub dan laman web https://covidnow.moh.gov.my.

– BERNAMA


Pengarang :