Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes sembuh 20,980, sekali lagi melebihi jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Jumlah kes sembuh daripada Covid-19 dalam tempoh 24 jam di Malaysia adalah sebanyak 20,980 iaitu lebih tinggi daripada angka kes baharu bagi tempoh sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu pulih dari wabak berkenaan di negara ini kini 1,721,713.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 1,298 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 960 kes disahkan Covid-19 sementara 338 lagi adalah suspected, probable, dan kes dalam siasatan.

“744 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 444 kes disahkan Covid-19, manakala 300 adalah kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam perkongsian infografik data kes baharu, beliau berkata sebanyak 19,198 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara kini 1,979,698.

Memperincikan kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham menjelaskan hanya 253 daripadanya atau 1.3 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala 18,945 kes (98.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2.

Bagi data kematian, akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM) tengah malam ini.

Dalam pada itu, terdapat 34 kluster baharu dikesan hari ini, merangkumi 17 kluster di tempat kerja, 14 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster keagamaan.

– BERNAMA


Pengarang :