Persembahan kumpulan nasyid Hijjaz pada Majlis Perasmian Tilawah dan Menghafaz all-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441H/2020M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 14 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dana RM250,000 untuk bela kumpulan nasyid terjejas Covid-19

KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Kerajaan Selangor terus membantu penggiat seni dengan memberi dana tambahan RM250,000 bagi membela kumpulan nasyid yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO kebudayaan berkata peruntukan itu akan digunakan kumpulan terbabit untuk merakam persembahan bagi dimuat naik di laman sosial seperti Facebook dan Youtube.

“Usaha ini sama seperti kita bantu busker yang buat persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV). Langkah ini juga untuk memastikan mereka sentiasa ada, tidak terus hilang akibat pandemik.

“Sekarang kita masih kenal pasti kumpulan yang memerlukan bantuan. Selangor akan terus berusaha membantu golongan terkesan termasuk penggiat seni,” kata Borhan Aman Shah selepas menyerahkan bakul makanan kepada wakil penghulu di sini hari ini.

Jumlah sama turut diperuntuk bagi membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Projek Kita Buskers Selangor selama sebulan mulai 15 Ogos turut memberi sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi membantu golongan itu meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Borhan berkata Jelajah Rentak Selangor yang terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung semula pada Oktober membabitkan Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Kali ini kita tambah pertandingan berpantun secara dalam talian dan tawarkan hadiah lumayan. Ini langkah menghidupkan seni lama kepada generasi baharu.

“Untuk Kuala Selangor kita akan perkenalkan seni kompang manakala kuda kepang diketengahkan untuk Sabak Bernam,” katanya.

Pada Mac, Kerajaan Negeri memperkenal program Rentak Selangor yang menampilkan 10 jenis kebudayaan antaranya tarian pooja, muzik gambus, tarian kuda dan muzik cempuleng.

 


Pengarang :