EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail melawat sekitar laman ketika Perasmian Laman Komunal Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, Ampang pada 4 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Dari pondok buang perabot kini jadi lokasi rehat, rewang penduduk

AMPANG, 5 SEPT: Inisiatif ruang komunal diperkenal Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keselesaan penghuni pangsapuri kos rendah, mengubah wajah pondok pembuangan perabot di Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya di sini.

Jika dahulu fungsinya hanya untuk membuang perabot usang, namun kini penduduk boleh berehat sambil membaca buku di ruang dihiasi dengan deretan bunga ditanam penghuni.

Turut disediakan ruang memasak digunakan ketika ada majlis bagi menghidupkan suasana gotong royong atau rewang seperti di kampung.

Pengerusi jawatankuasa mengurus komunitinya Budiman Taib berkata penduduk berterima kasih dengan Kerajaan Selangor yang membantu penduduk menyediakan ruang komunal itu.

Menurutnya, usaha itu menceriakan pangsapuri yang sudah berusia 15 tahun dan menyediakan ruang berehat serta bersosial bersama jiran.

Pengerusi JMC Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, Budiman Taib

“Kami juga dapat menghidupkan aktiviti mengeratkan hubungan, contohnya penduduk berkumpul di situ untuk rewang memasak apabila ada majlis seperti perkahwinan.

“Walapun tinggal di kediaman bertingkat namun kami juga boleh jalankan aktiviti bermasyarakat seperti biasa dengan adanya ruang komunal itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian ruang komunal

Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya disempurnakan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Ruang yang dinaik taraf dengan kos RM15,000 itu dilaksana secara gotong royong oleh penduduk dan wakil Universiti Kebangsaan Malaysia.


Pengarang :