Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Data internet percuma, MBI pertimbang rayuan 2,000 pelajar

KUALA SELANGOR, 11 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membantu 2,000 lagi pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mendapat kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata ketika ini seramai 7,000 daripada 9,000 pelajar PTRS layak menerima manfaat tersebut.

“Kuota penerima SIM hanya 7,000 sedangkan keseluruhan pelajar PTRS seramai 9,000. Kita akan cuba bantu baki yang tidak mendapat inisiatif ini menerusi proses rayuan.

“Setakat ini 500 permohonan rayuan diterima dan keutamaan MBI mahu pastikan semua pelajar PTRS dapat SIM supaya proses pembelajaran berjalan lancar,” katanya selepas melawat bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari.

Lawatan disertai Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli turut menyerahkan bantuan wang tunai serta bakul makanan.

Hujung bulan ini pelajar yang menyertai program Data Internet Selangor akan menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :