Kempen Jom Derma Darah anjuran Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang diadakan di Pusat Membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 28 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Derma darah tujuh hari selepas suntik vaksin jika tiada kesan sampingan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Pusat Darah Negara (PDN) meminta agar orang ramai menangguhkan aktiviti menderma darah hingga tujuh hari selepas pengambilan vaksin Covid-19 jika tiada kesan sampingan.

Menurut PDN dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam, individu yang menghadapi kesan sampingan ringan setelah menerima vaksin, dibolehkan menderma darah selepas tujuh hari sembuh daripada sebarang gejala.

PDN memaklumkan penangguhan aktiviti derma darah ini membabitkan individu yang menerima suntikan vaksin antaranya Pfizer-BioNtech, Sinovac dan AstraZeneca.

“PDN sangat mengalakkan penderma darah untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan orang lain. Penderma darah masih boleh menderma darah dalam tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

PDN memaklumkan bahawa maklumat lanjut berkaitan tempoh penangguhan menderma darah bagi pengambilan jenis vaksin Covid-19 lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :