Logo baharu Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Diskaun 40 peratus sewa tapak antara usaha MPKS ringan beban penjaja

SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyediakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemudahan meliputi diskaun 40 peratus bayaran sewa tapak penjaja dengan syarat tiada tunggakan selain pengurangan 25 peratus caj sewa tapak pasar pagi dan malam sehingga akhir tahun ini.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata bayaran ansuran sebanyak dua kali bagi permit parkir turut diberikan kepada pengusaha bengkel, kedai aksesori dan cuci kenderaan.

“MPKS juga memberi pengecualian sewa bagi premis yang tidak dibenarkan beroperasi dan diskaun 30 peratus pengurangan kadar sewa bagi perniagaan makanan dan kilang memproses makanan.

“Selain itu, pengecualian denda lewat turut diberikan kepada semua penyewa premis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah MPKS menyediakan premis dan ruang niaga yang masih kosong untuk disewakan kepada penjaja kecil termasuk memudahkan kaedah tawaran sewaan.

“Bagaimanapun, setiap permohonan masih perlu melalui proses dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Rahilah berkata sebanyak 1,500 bakul makanan diagih kepada penduduk terkesan meliputi kawasan strata dan taman perumahan setakat Ogos.


Pengarang :