Vaksin jenis Sinovac yang dibekalkan oleh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) untuk diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU Medical Centre Shah Alam ketika tinjauan pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Diskriminasi jenis vaksin, Malaysia minta WHO nyata pendirian

SHAH ALAM, 24 SEPT: Malaysia menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) campur tangan menyatakan ketetapan dalam isu diskriminasi penerimaan vaksin tertentu untuk perjalanan antarabangsa.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata terdapat negara menetapkan hanya individu menerima vaksin tertentu diberikan pengecualian melakukan ujian pengesanan Covid-19 dan aspek kuarantin.

Tegasnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pencegahan penularan virus bukan ditentukan jenis pelalian tetapi kawalan sistem kesihatan awam sesebuah negara.

“Kita kecewa dengan diskriminasi ini dan meminta WHO menyatakan pendiriannya berhubung perkara itu kerana Malaysia menggunakan vaksin disenaraikan badan itu.

“Seharusnya semua negara harus mengiktirafnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy mengulas laporan media antarabangsa berhubung pengambilan jenis vaksin yang boleh menentukan destinasi boleh dikunjungi walaupun beberapa negara mula melonggarkan pelawat mengunjungi negara mereka.

Sebagai contoh, Suruhanjaya Eropah hanya memberikan kebenaran kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menerima suntikan vaksin diluluskan agensi perubatan untuk memasuki mana-mana negara Eropah.

China pula hanya mengiktiraf vaksin keluarannya, sedangkan Barat tidak meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 yang dihasilkan negara berkenaan.


Pengarang :