Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof melepaskan bebola tanah liat atau ‘mud ball’ ke sungai sekitar Dusun Tua bagi menjaga ekosistem hidupan air sempena Hari Sungai Sedunia pada 24 Sept 2021. Foto Facebook MPKj
ADNSELANGOR

Dua kampung di Dusun Tua terima alat gotong royong sumbangan MPKj

SHAH ALAM, 25 SEPT: Dua kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menerima peralatan gotong royong sumbangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2021 semalam.

Wakil rakyatnya Edry Faizal Eddy Yusof berkata menerusi program River Care peralatan gunting rumput, penyepit sampah, kereta sorong, tong kitar semula, pencakar dan plastik sampah diserahkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Raya, Batu 9 dan Batu 16 Dusun Tua.

“Sepatutnya kita anjurkan gotong royong membersihkan sungai bersama penduduk tetapi disebabkan pandemik Covid-19, acara terpaksa ditangguhkan.

“Jadi peralatan ini boleh digunakan untuk aktiviti itu apabila kerajaan membenarkan aktiviti sosial,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata program mendapat kerjasama jabatan pengairan dan saliran daerah itu turut melepaskan bebola tanah liat atau ‘mud ball’ ke sungai sekitar Dusun Tua bagi menjaga ekosistem hidupan air.

“Harap program mendidik masyarakat untuk memulihara alam sekitar. Peralatan diserahkan itu boleh dipinjamkan kepada kampung lain yang mahu membersihkan sungai,” katanya.


Pengarang :