Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin covid – 19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Ramal di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Bandar Baru Bangi pada 18 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Bandar Utama mulakan vaksin bergerak, sasar 1,000 penduduk

PETALING JAYA, 4 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama memulakan suntikan vaksin secara mobil di Kampung Sungai Kayu Ara hari ini.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata program selama dua hari menyasarkan seramai 1,000 penduduk, yang sebahagian besarnya merupakan warga asing.

“Program ini diadakan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan peserta perlu hadir ke Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara untuk divaksin.

“Kita minta mereka yang telah didaftarkan hadir mengikut slot janji temu dan membawa dokumen pengenalan diri masing-masing serta membawa pen sendiri bagi mengurangkan sentuhan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan kit ujian air liur kepada lima wakil rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama di sini semalam.

Sementara itu, Jamaliah berkata sebahagian besar penduduk Bandar Utama terutama warga tempatan sudah menerima suntikan pelalian Covid-19.

Pada 24 Ogos, EXCO kesihatan awam memaklumkan Selangor dijadual memulakan program pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan tertentu mulai bulan ini.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan inisiatif itu bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok.

 


Pengarang :